Kesedihan sedang melimpahi segenap alam maya dan cakerawala dengan perginya seorang pencinta ilmu dan khadam kepada ilmu ini. Tidak layak rasanya hamba Allah yang hina dan penuh dosa dan yang tidak menyumbang apa-apa dalam dunia ini untuk menulis tentang Al-Marhum Tuan Guru Ust. Wan Soghir yang telah menyumbang sekian jasa kepada khalayak masyarakat.

Andai sahabat-sahabat ingin membaca perihal AlMarhum bolehlah ke site tertentu; Bahrus Shofa, AlFanshuri/Abdullah Tahir, Tok faqir, AlBazrah dan laman Saudara Mfr; Ulama’ Nusantara. Namun cukuplah di sini, hamba Allah ini ingin memuhasabah diri yang tidak layak digelar penuntut ilmu dengan kelalaian yang masih meliputi segenap urat nadi dan masa yang tidak terguna dengan sebaiknya. Semasa ana mendapat message dari AlBazrah memaklumkan akan pemergian Ust. Wan Soghir hati dipagut pilu hingga tidak mampu berfikir apa-apa. Sementalah kebetulan diuji dengan kasihsayang Allah iaitu sakit yang mengingatkan akan kematian, ana tertegun sendiri. Namun pantas teringat akan mafhum hadtih yang sangat-sangat akrab dengan realiti masa kini.

 

 

Cuba membuatkan diri ini sedar akan hakikat alam fana ini, walau sedih mana sekalipun sudah tiba masanya beliau kembali ke Hadrat Allah. Pergi menemui kekasih dan berehat dari dunia ke alam baqa. Maka berbahagialah mereka yang dipilih Allah untuk menemuiNYA dalam keadaan telah memberi manfaat dan mencapai maqam ubudiyyah yang tinggi. Namun apa yang membuatkan terkilan adalah hasrat dan hajat di hati ingin berguru dengan beliau tidak kesampaian. Cuma sempat mengenali keikhlasannya menegakkan Sunnah lewat buku dan tulisan-tulisan beliau.

Cuba-cuba hitung mengapakah sampai kapan  tidak sempat menemui beliau walau sudah diusahakan untuk menadah ilmu dari beliau. Jawapannya tentu tidak ditakdirkan Allah. Pasti ada rahasia di sebaliknya. Ana hitung-hitung kembali jemari waktu, sebelum ke timur tengah usia masih belum mengizinkan ke sana ke mari. Usai pengajian, menyambung pengajian pula lantas berusaha dengan kudrat yang terbatas mencari semampu mungkin lubuk-lubuk ilmu yang dapatlah kiranya hamba yang faqer lagi jahil ini menumpang teduh dan antaranya kuliah Us. Wan. Namun tentunya perancangan Allah itu lebih terbaik, walau melalui mata kasar dan pandangan zahir ianya tidak menyenangkan sebaliknya di sisi Allah AlQadir tersembunyi hikmah yang luarbiasa. Menghubungi pihak yang menguruskan, namun semasa itu seisi yang baru belum bermula. Kemudian, khabar beliau sakit pula kedengaran. Allahuakabr! Betapapun kita masih memerlukan dan mengasihi beliau, namun cinta dan rindu beliau untuk menenemui Allah mengatasi segala apa yang kita rasa. Segalanya telah ditaqdirkan oleh Allah yang Maha Agung. Oh Allah, Engkau juga yang kekal.

 

Cuba kita memahami akan perjalanan alam ini yang kian tua, dan ramai dari alim ulama’ pewaris Anbiya’ telah meninggalkan kita. Yang tinggal di perut bumi kini, ditolak tambah dengan baki mereka yang awliya’ wa solihin, siddiqon, muqarrabin, muttaqein maka tinggalkan kita-kita yang jahil dan lalai dengan dunia sendiri ini! Maka apakah kira-kira kita masih boleh bersenang-senang lagi? Kita memerlukan lebih dari pedang untuk turun ke medan.

Tentu dan pastinya tidak akan sunyi dunia ini dari mereka yang dipilih Allah yang memayungi alam sarwajagat kalangan mereka yang tegar meneruskan penegakan kalimah Tauhid, namun adakah cukup usaha kita berkejaran semampu mungkin dan mengambil manfaah dari mereka sebelum terlambat? Cukupkah kita bersenang dalam bilik berhawa dingin dan membaca kitab sendirian setiap waktu? Atau sering kita tangguhkan perjalanan menuju Allah dan mencari ilmu demi RedhaNya juga dengan perkara-perkara zohir yang sering menipu?

Cuba kita bayangkan ibu kepada Rabiah Ar-Ra’yi telah menghabiskan hampir 300,000 dinar untuk membolehkan anaknya berguru dengan sekian guru di Madinah ketika itu dan menjadi faqeh yang terkenal pada zamannya. Kira-kita pengorbanan apakah yang boleh kita banggakan? Sekadar mengeluarkan sedikit wang menyambung pengajian untuk sijil tidak pula menetapkan mencari Redha Allah maka ya Allah, kita berada dalam keadaan bahaya yang sangat merugikan. Allahuakbar! betapa lalainya diri ini! Bila di hitung umur masa yang telah terhabisi dengan perkara sia-sia, maka kira-kira jawapan apakah yang akan diberi pada Allah nanti.?

Bagaimanapun kita menganggap kita masih muda, dan masa masih panjang, namun perhitungan begitu salah sebenarnya. Usia yang Allah beri merupakan amanah dan merupakan satu proses perjalanan menuju Allah, setiap detik tidak kira berapa angka umur kita akan dittanya Allah ke mana pergi dan di mana ia dihabiskan. Contohnya, kalau 1/3 umur kita dihabiskan dengan menonton televisyen, besembang kosong, tidur banyak tanpa niat ibadah, maka kira-kira apa jawapan di hadapan Allah nanti? Oh, sungguh takut memikirkannya. Bukan berdzikir, berjihad, berdakwah, melakukan ibadah atau beramal soleh namun lalai! lalai!. Betapa lalai itu membunuh hati..

 

Kecintaan kepada para Solihin dan Ulama ‘Amilin adalah natijah itbaun Nabi. Nabi telah memesan Ulama itu pewaris Anbiya’. Kita tidak berkesempatan untuk menemui dan hidup bersama mereka. Namun kecintaan lahir kepada mereka kerana cinta kepada Baginda s.a.w. Tiada siapa yang dapat membayangkan betapa kasih Allah begitu juga kasih kepada Baginda Nabi SollAllahualaihiwassalam tersusun indah dalam lipatan hati. Kecintaan kita pada Sahabat dan mereka yang solih dari kalangan auliya’ was solihin tentu tidak terlangkau dari cinta-cinta sebelumnya. Kerana kita ini manusia berlumpur dosa, ghaflah dan nafsu-nasfu yang lain, maka perlunya kita kepada menyintai mereka dan bimbingan mereka! Cinta bukan taasub kerana cinta lahir dari itabbun Nabi. Syeikh Afifuddin Al-geylani telah berkata."Dan bukanlah itba’ itu lahir dari cinta. Sebaliknya cinta itu natijah. Itba’un Nabi itu asal."

Hidup mereka dengan memberi manfaah, jasad mereka bersama manusia, hati mereka bersama Allah telah berkata Syeikh Yusuf al-Hasani. Buat kekanda seperjalanan yang sedang mencari Habib Ali Idrus yang berada di pondoknya yang sedang uzur, moganya perjalananmu menemui wali abdal diberkati. Ketahuilah sesungguhnya aku mencemburuimu! Dan hati aka jantung yang lalai ini, nyahlah segala isi dunia darinya.Usah aku disibukkan dengannya kerana tidak mampuku menanggung dua cinta.