Kredit kepada Tuan Tanah 

Tajdid Segar

Menikmati beberapa artikel hasil tulisan penulis-penulis[1] baru yang bersama-sama mendokong tajdid segar menjentik hati dan minda. Membuatkan tersenyum sendiri dengan kebijaksanaan mereka mengolah kata. Hasil didikan tok-tok guru- Diulangi bukan tok guru tidak bertauliah atau anak murid yang hanya duduk diam atas kerusi tidak bertanya-. Tetapi hasil muraja’ah, adab dan akhlak yang tersusun maka boleh dikatakan sudah terhimpun satu suara yang lahir dari mereka yang cintakan kebenaran. <

/p>

Minta maaf kepada saudara-saudari yang budiman, kami bukan melabel membuta-tuli- satu tindakan tidak wajar-, tetapi setiap dari permasalahan dan konflik ianya bermula dari sejarah serta terkeluarnya kita daripada lingkungan kesepakatan hukum yang telah dipersetujui. iaitu Al-Quran Sunnah dan IJMA[2]

Samada sejarah itu terbuka kepada kritikan atau tidak ianya bergantung kepada bagaimana kita melihat sejarah. Ia terpatri dalam perjalanan masa.

Jika anda ziarahi minisite-minisite tertentu yang dipenuhi tulisan analatikal1,& analatikal 2, krtitis dan sinikal maka pasti akan anda berfikir.

Wah! Ini satu budaya yang tidak sihat. Label melabel, memecah belahkan Ummah. Tidak bersatu.[3]

Benarkah begitu?

Sebagai contoh, mengapa isu Wahabbi Salafi? Mengapa tidak isu lain? Isu ini walaupun sudah lama, malah berabad diperbincangkan malah telah bertemu titiktemunya di dalam muhadarah dan kitab-kitab alim ulama’ sejak zaman berzaman, namun yang sering terjadi adalah pokok perbincangan kembali bermula dengan kebangkitan isu-isu lama lagi khilafiyyah dengan alasan tajdid dan pembersihan segala amalan dari bidaah.( Ini tidak termasuk isu Usuluddin ).

Oh! Biasa di dengar, tapi di mana ya? Pada permulaannya hampir kebanyakkan dari kami begitulah. Wah! Sungguh bersemangat kami semua sehinggakan terasakan semuanya amalan di nusantara ini dipenuhi bidaah.(Ini mubalaghah).[4]

Kredit Encik Tawel

Manusia Berfikir

Maklumlah apa yang kita inginkan sebagai manusia berfikir ialah ketulenan sesuatu perkara. Namun, apa yang kita sering abaikan adalah ketulenan sesuatu maklumat itu hanya akan terhasil berdasarkan perbandingan, keikhlasan juga  bagaimana kita mendepani proses pencarian mencari kebenaran[5]

Mengenepikan keputusan atau suspending judgment[6] merupakan tunggak utama menghasilkan satu natijah yang objektif dan jauh dari kecenderungan berasaskan emosi di dalam teori perbincangan perbandingan agama.  Walaupun kita sekarang bukan membandingkan agama sebaliknya memilih maklumat yang dihadami namun sering terjadi adalah kecenderungan kita memilih maklumat yang salah dan terlalu cepat membuat rumusan tanpa kita sedari akan kejahilan kita sendiri yang akan membuatkan kita buntu dan keliru memilih jalan.

Ini yang sering terjadi di zaman serba mencabar dan moden ini. Ini juga yang sangat sering dielakkan oleh para cendikiawan kita sejak zaman berzaman. Mereka sangat menjaga bagaimana mereka melalui proses pencarian ilmu di samping membuka minda kepada pendebatan yang sihat dengan sabar dan melalui beberapa peringkat. Atau lebih tepat lagi cermat dan mengikut metodologi.

Contohnya Imam Syafie bertanya kepada Imam Malik dengan beraninya begitu juga Imam Ahmad b Hanbal juga berbincangan dengan tuan gurunya iaitu Imam As-Syafie r.a. Dalam masa yang sama meraikan adab dan akhlak selaku penuntut ilmu. Seperti yang dinukilkan dari tuan guru kami Imam Syafie r.a. sangat takut menyelak helaian kitab bimbang andai bunyi selakan itu menganggu Imam Malik r.a.[7] Ini yang kita tiada sehingga sering benar kita terlalu cepat membuat rumusan dan konklusi.

Setelah kita mempunyai segala pra-syarat dalam proses pencarian kebenaran ini pasti akan kita temui titik tolak yang menjadikan Ummah Islam kuat suatu masa dahulu. Iaitu berlapang dada dan berakhlak dalam meraikan perbezaan. Kesemuanya berasal dari sumber Al-Quran dan As-Sunnah serta sumber-sumber hukum yang disepakati.

Catatan: Kita tidak mungkin akan bersatu tanpa berpaksikan[8] dan berlapang dada di atas perkara-perkara cabang.


Perbahasan Adil dan Sihat.


Sebagai contoh,  seorang penulis di majalah I menyanggah akan tulisan seorang penulis lain tentang hukum sebenar di antara berzikir terang atau sembunyi yang paling selari dengan dalil Al-Quran dan Sunnah. Ianya merupakan sesuatu budaya yang sihat andai kita berhujah dengan cara yang sihat juga.

Sebaliknya pula yang terjadi. Amat mendukacitakan apabila tulisan tersebut selain dari membuat keputusan muktamad dengan mengatakan bidaah secara tunggal itu; zikir berjemaah dan terang[9] sebagai satu amalan yang tiada dalam Islam, ianya telah mengelirukan ramai pihak dan mengundang fitnah malah lebih ditakuti lagi jenayah ilmu. Nauzubillah min zalik.

Bayangkan! Kekeliruan apakah yang bakal timbul dari pembaca-pembaca yang lain selain, wah zikir-zikir terang dan ramai-ramai semuanya bidaahlah ya ( Ini bagi mereka yang tidak menjadikan ilmu lughawi sebagai salah satu ilmu alat yang sangat penting hingga mengg’kull’kan kesemua bidaah itu sesat dan tidak mengambil kira " nakirah" atau "makrifah" nya lafaz bidaah itu).Ok, ok mungkin mereka menggunakan juga, namun mengapa tidak dalam lafaz bidaah ini?

Sedang kita perlu maklumi akan hujah-hujah tersebut tanpa rasa emosi dan meneladani kesemua kitab yang membincangkan akan permasalahan zikir terang jelas dan sembunyi saling mempunyai hujah tersendiri[10]. Bagi mereka yang ingin mengambil amalan zikir yang mana terpulanglah mengikut keselesaan sendiri. Asal jangan lupa berzikir atau melupakan mereka di luar sana yang ramai lagi tidak berzikir. Atau lebih selamat lagi serahkan kepada ahlinya.[11]

Kita perlu jujur dan mendasari  jauh ke dasar hati dalam proses ini. Perlu jauh dari tanggapan atau persespi tertentu ketika menghadiri majlis-majlis ilmu supaya maklumat akan dapat dihadami dengan saksama dan adil. Maka selepas itu, buatlah perbandingan yang bijak dan merujuk kepada keikhlasan yang tulus.

Pencarian maknawi

Tuntasnya, setelah itu minda yang murni dengan izin Allah akan kembali kepada asal penciptaan beserta ruh yang sihat akan membuat keputusan hasil dari pertimbangan utama:-

1) Keutamaan

2) Kematangan

3) Kualiti

4) Pendidikan nafsu. Menundukkan nafsu yang 5 untuk mendapat nafsu yang satu iaitu Nafsu yang diRedhai.

Hasil 4 proses pemikiran dan pemilihan yang empat itu, kita akan dapati itulah yang telah disarankan oleh cendikiawan kita sejak dari kurun 1 hijrah sehingga sekarang. Dari bermulanya pembentukan iman, taqwa, cinta, rindu pada Allah semuanya akan menghasilkan satu tindakan bersepadu memilih apa jua berdasarkan perkara empat di atas yang asanya adalah wahyu.

FOKUS

Kita perlu fokus apa yang ingin di cari dalam hidup ini. Andai kita inginkan kebenaran yang tulen, maka laluilah jalannya, andai anda inginkan keRedhaan Tuhan, maka pinggirkan hal-hal yang bertentangan dengan jalan kepadaNYA.

Andai anda mengatakan anda inginkan kebenaran dan RedhaNya, namun anda masih lagi melakukkan perkara-perkara yang bukan dalam proses tersebut, maka anda perlu selidiki benarkah dakwaan anda itu lahir dari jiwa yang bersih.

Jika anda masih mundar-mandir dan berada di dalam kekeliruan maka bersabarlah dan bertenanglah, carilah di mana asal ruh anda berada dan didiklah jiwa kepada Tuhan, maka selamat datang kepada alam yang yang penuh rahsia. Segalanya kembali kepada Allah. Kebesaran Allah itu tidak kita terbayangkan sehingga segala tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi ini masih belum mampu mengungkap akan kekuasaan Allah.

____________________


[1]Apa yang tuan site ini maksudkan adalah tulisan akhina Raja Mukhlish, Alexederwarthen dan Sword yang baru dijelajahi oleh tuan site ini termasuk juga  minisite Sidi AlFanshuri yang makin bermanfaat dan aktif inshAllah.

[2]Anda perlu jelas akan permasalahan ini tidak mempunyai kaitan dengan peribadi-peribadi yang terlibat dalam permasalahan ini. Subjek dan Objek perlu jelas. Kasihsayang sesama saudara Allah sahaja yang tahu, kekal subur. Kasihsayang itu wajib bagi Mu’min dan bagi kami antara yang akrab di hati adalah di kalangan mereka yang berbeza pandangan. Memelihara rasa kasih itu wajib walau berbeza pandangan dalam pelbagai subjek.

[3] Dr Radwan Jamal salah seorang pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Hadith di Uia  semalam di dalam satu talknya di kampus ini, menceritakan akan asas pemasalahan ketidaksatuan Ummah yang kian membimbangkan ialah tiadanya; keamanan, kesamarataan, keadilan dan kemahuan yang sama. Andai hadith yang menekankan tentang ketidaksempurnaan iman seseorang Muslim melainkan beliau mengasihi saudaranya sebagaimana kita mengasihi saudara kita sendiri. Cuba kita cermati di sebalik hati-hati kita sendiri adakah benar kita menyintai saudara-saudara kita sebegitu rupa. Andai benar, kita akan memahami konsep keadilan dalam memberi hukuman bidaah secara rambang dan sangat takut mengeluarkan kalam tersebut kerana cara sebegitu bukanlah amalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat-sahabat Baginda RadiyaAllahuanhum Ajmaien. Menggunakan alasan di sebabkan kami menyintai mereka maka sebab itu kami memberitahu mereka amalan tersebut bidaah dholalah sedemikian bukanlah hujah kukuh untuk anda aplikasikan rasa kasih itu. Anda perlu adil dan ikhlas dahulu. Andai masih berbaur perasaan sinis dan tidak adil dalam meneliti hujah dan tidak adil mengaplikasi hujah dan perbezaan maka sayang itu tinggal perkataan sahaja. 

[4] Mubalaghah ialah hiperbolisme.

[5] Sila klik di sini Alexendaricairo.

[6] Seperti yang dilakukan oleh Al-Biruni ketika membuat kajian tentang perbandingan agama hindu dan menulis Ta’rikh al-Hind. Apa yang ingin ditekankan di sini, bukanlah kita ingin membandingkan agama. Kerana agama di sisi Allah itu Islam. Namun proses pencarian ketepatan itu memerlukan objektiviti. Perbandingan agama yang dimaksudkan juga adalah perbandingan agama selain ISLAM yang dibandingkan antara satu sama lain untuk membawa kepada kebenaran mutlak yaitu agama ALLAH.

[7] Sila rujuk kitab Albayan karangan Imam Nawawi RadiyAllahuanhu untuk mendasari adab-adab penuntut ilmu.

[8]Teman tuan site ini yang menegaskan akan hakikat ini. Semasa itu, beliau yang merupakan wargenegara Amerika menceritakan sesuatu yang mustahil andai kita masih kabur akan hakikat kebenaran untuk bersatu. Kerana kita tidak mungkin bersatu di atas kejahilan. Ummah Islam semasa zaman kegemilangan mempunyai adab dan akhlak di samping pemahaman yang jelas akan konsep Ummatan Wahidah sehingga mereka tegar bersatu dan meraikan perbezaan.

[9]Semasa tuan site ini menulis entri ini, tidaklah pula dia mendapati ada satu hasil tulisan yang menyeluruh ( Istia’ab ) akan permasalahan ini di minisite Saudara kita, Ustaz Raja Mukhlish. Hajat ingin menaqalkan permasalahan panjang lebar ini dari kitab-kitab tertentu, namun kurnia  dan khazanah dari Allah ada di mana-mana. Maka sayugianya, sama-sama kita telurusi permasalahan ini dari tulisan dan petikan dari Fatwa Dr Ali Juma’ah di sini..  

[10] Secara peribadi, kebiasaan di kampus ini sudah menjadi keselesaan dan sebati dalam diri bilamana zikir dibaca sendirian selepas solat. Namun keperluan zikir terang beramai-ramai kita amalkan bersama ketika majlis ilmu dan zikir juga mempunyai hujah, sebab dan kelebihan tersendiri.

[11] Ahmad Ar-Raysuni dalam tulisannya menerusi kitab yang merakam perdebatan beliau bersama seorang tokoh pemikir Liberal Mohammad Jamal Barut " Al-Ijtihad Bayna An-Nas, Al-Waqi’, al Maslahah ada mengatakan secara ringkasnya dirumuskan di sini. " Apakah rasional dan logik jika agama hal-hal yang pokok ( usul ), cabang ( furu’) dan kaedah-kaedahnya  menjadi bidang yang dapat ditafsirkan sekehendak dan semuanya dengan alasan kebebasan berfikir dan tidak adanya monopoli kebenaran? Pada hakikatnya tafsir, interpritasi ( ta’wil ) dan ijtihad dalam agama lebih membutuhkan syarat-syarat, kecakupan, dan keahlian tertentu dalam bidang keilmuan lainnya termasuk sikap teliti dan berhati-hati. Saat ini sering kita dapatkan beberapa orang nekad yang mengkritisi agama dan mengemukakan pandangan dan idea-idea controversial, memotong dan memilih persoalan kemudian ditakwilkan dan diinterpertasikan sekehendak hatinya mengikuti alur kanan ataupun kiri. Menganggap dirinya pemikir bebas,  mujtahid pembaharu dan pelopor pembaharuan, padahal ia tidak memiliki keahlian sama sekali tentang substansi persoalan, tidak banyak yang pengetahuan yang diketahuinya kecuali sebahagian kecil yang bersifat parsial, dan mengemukan pandangan yang tidak layak legalitasnya." Sambung Ahmad Raisuni. " Saya tidak melarang kajian dan studi keislaman yang dilakukan para peneliti dan pemikir dari berbagai macam disiplin keilmuan dan keahlian, seperti doctor, jurutera, wartawan, ahli falsafah, pakar sejarah dan ahli politik. Tetapi saya berharap agar mereka untuk berhati-hati, rendahhati, dan mengerti akan kelayakan intelektual mereka terhadap bidang ini."  

Catitan:

Tulisan ini masih ada sambungannya iaitu nota kaki. Seandainya dilapangkan Allah, maka bersambunglah andai tidak maka Allah lebih mengetahui. Wallhua’lam. Segala kelemahan, kesilapan dan kekurangan kembali kepada penulis tulisan ini sendiri. Moga terpimpin hati kita dan diampunkan dosa-dosa kita. Apa yang kita inginkan adalah Ummah yang bersatupadu bergerak ke arah matlamat yang sama.

" Beramallah apa yang sohih di sisi kamu "