
Selamat Hari Guru Buat semua alam kehidupan yang mengajar kita secara lansung atau tidak langsung tanpa kita sedari atau tidak. Dedaun, pokok-pokok, langit, gunung-ganang, pantai, sungai, angkasa, binatang-binatang semuanya bersatu dalam ketaatan dan zikrullah memberi kita satu pengajaran. Allah itu Esa dan wajib bagi kita mentaatiNYA.
Setiap hari bagi mereka yang berfikir, merupakan pelajaran baru yang dihamparkan oleh Allah bagi mendidik kita dengan penuh sabar agar kita menjadi manusia yang belajar dan terdidik.
Buat guru-guru yang sekian ramai dalam hidup tuan site ini, tiadalah bahasa juga kalam yang dapat menaksir segala apa yang telah kalian tumpahkan. Allah jua yang akan memberi sebaik-baik ganjaran. Andai dikumpul segala yang termahal dan terindah dari alam maya ini masih belum mampu membayar sebuah kurnia bernama ikhlas dari ciptaan bernama guru. Arigato Sensei!
Sesudah bergelar guru baru dapat kutelahi betapa perit dan susahnya menjadi seorang manusia bernama guru! Buat semua anak-anak murid cikgu; Cikgu sayang amat pada kalian. Apa yang terluah; Marah, teguran dan ketegasan semuanya biasan dari cermin hati cikgu yang paling dalam. Terima kasih kerana kalian juga mengajar cikgu sesuatu; Kesabaran. Kalian di hati selalu.
Semua dari kita perlu sangat berterima kasih kepada penghulu guru kita Sayyidul Kawnain Wathaqalain Rasululllah s.a.w yang mengajar segala yang mulia. Maha Suci Allah yang mengurniakan kita pendidik sebegitu rupa.
Tidak terucapkan juga terima kasih tidak terhingga kepada semua teman-teman yang bergelar guru.
* Kad tulisan tangan yang pertama yang tuan site ini terima; "Hepi Tices Day" beserta kata-kata yang dinukil menjadi sajak yang sederhana terbit dari seorang anak murid yang ikhlas yang mana masih sempat mencuri-curi masa di sela waktu peperiksaan membuat kad buat cikgunya ini. Terima Kasih, Hidayah.
