
Esok dia bakal pergi. Hati ini akan walang rindu lagi. Bukan kepalang. Namun ini hakikat. Daerah ini bukan daerah kekal. Daerah ini daerah memendam cinta. Agar janji bakal terlunasi bersama. Agar rindu terlerai di daerah cinta. Tiada lagi wajah manis yang bakal bercerita bersama. Tentang Turki dan segala yang ada dalamnya. Tiada lagi paksaan mencicipi teh panas sambil menikmati keju masam yang menyihatkan. Tiada lagi. Yang tinggal hanya tepu janji yang bisu. Dia bakal pergi menyusuri langkah teman yang dahulu pergi. Ramadhan akan datang, tiada diksi mereka lagi. Oh, tahun ini menempa sejarah terpisah sekujur tubuh namun bersatu minda, ruh dan hati. Yang tinggal hanya janji. Juga doa. Ikatan itu tidak pada pertemuan hari-hari, namun doa itu saksi dan bukti. Esok, dia bakal pergi.

salam. manis sungguh bahasa kamu. rindu yang jauh tertahan-tahan itu nikmat tuhan dalam ladang perkasihan.
Comment by ummu hani — July 17, 2007 @ 3:16 am
terima kasih ummuhani. Yang manis-manis itu semuanya dari Tuan Empunya Alam. Ingin tersenyum membaca komen saudari. Ya, ladang perkasihan sesama saudara. Pasti ramai keliru makna halusnya. Ya, rindu pada saudara yang terpisah jauh maharnya Redha Allah. Ianya tetap halal dalam satu darah bernama wanita. Yang sunyi dan khali dari nafsu itu ikatan sesama jantina. Kerana kita bukan para WaliNYA. Yang khali dari nafsu. Yang mampu cinta tanpa nafsu.
Kita berjanji di bawah lembayung di hari tiada lembayung kelak. Makna juga pesan Nabi s.a.w yang tercinta. ” Mereka yang bertemu jua berpisah kerana Allah, akan bertemu di bawah lembayung yang tiada lembayung kelak. Moga kita di bawah satu lembayung kelak.!
Ada sambungannya edisi “wida’ ” ini. Moga diberi kesempatan. Maklum sahaja, mereka yang berkulit putih mulus itu yang menghidang masakan enak dan panas-panas. Seperti hangatnya masakan dan dakapan terakhir mereka, begitu juga masih hangat ingatan bersisa. Masakan boleh lupa begitu sahaja.
Terima kasih atas kunjungan.:)
Comment by Administrator — July 17, 2007 @ 3:29 am