Dia Yang Saya Kenali
 
Dia yang saya kenali. Dialah. 
 
Kisah yang ingin saya ceritakan ini, bukan kisah cereka, bukan juga kisah rekaan, ianya kisah benar. Ya, benar-benar terjadi. Saya mengenalinya lewat Ramadhan yang lepas, usai kelas bersama seorang pengajar. Dia yang saya kenali pada perkenalan pertama, saya hanya cicipi dengan perasaan endah tidak enda. Entah mengapa. Selalu mesra sahaja saya membalas teguran-teguran teman. Tetapi, bagai malas melayan kenalan yang baru itu tika itu. Dialah.
 
Dialah yang memberi saya satu nafas baru di kampus ini tika itu. Bukan mudah setelah bermusafir empat tahun di bumi Nabi untuk melupakan desir debu sahrawi. Kami hanya berbasa basi bersembang. Sambil mengatur langkah pulang ke asrama. Namun jauh di dasar hati, saya mengatakan dia akan menjadi antara sahabat yang akrab di dalam hidup saya suatu hari nanti. Entah mengapa kuat benar naluri saya.

Dia yang saya kenali, rajin membantu, malah tanpa teragak-agak ringan menemani saya dengan kereta kancilnya ke Kuala Lumpur; Plaza Low Yat mencari barang yang tertinggal beberapa hari yang lepas. Dia yang menemani saya dengan sabar walau tersesat bebarapa jam di tengah-tengah bandaraya itu. Bersama-sama makan di kampung baru. Dan tanpa teragak-agak menghulurkan 10.00 ketika peminta sedekah meminta ehsan di meja kami. Tanpa saya sedar. " mengapa awak bagi banyak sangat, takut mereka itu menipu. Nanti seolah-olah kita menggalakkan pula." Saya menegurnya, tidak puas hati." Saya ada duit kecil." Katanya..biarlah pahalanya tetap berjalan walau mereka menipu..sambil membaca potongan ayat Al-Quran berkenaan sedekah. Saya kagum metah. Dia memang tidak pandai marah. Malamnya, apabila saya mengadu sukar konsentarsi apabila membaca sendirian di bilik, beliau menemani saya membaca. Walau sama-sama letai benar,dan saya yang sebenarnya bukan membaca melainkan terhangguk-hangguk keletihan. Aduhai sahabat.

 
Suatu waktu dahulu katanya, beliau gadis kota yang moden, ghairah membeli barang berjenama, dan tegar membeli-belah di bandaraya. Bermain , ski, dan lain-lain menjadi perkara biasa. Muzik  halwa telinga. CLEO adalah majalah kegemaraannya. Namun, tika hidayah Allah mengusik tirai jiwanya, bergemalah sinar taufiq yang menenangkan hati dan rasa. Jadilah beliau seperti sekarang. Pecinta ilmu Abid-Rahman yang unggul. Bukanlah bermakna salah kita bersukan, namun hatinya sudah tiada lagi untuk perkara-perkara itu. Titik.

 
Beliau sering mengadu pada saya. "Saya rindu sangat nak pergi ke Makkah dan Madinah, saya sering berdoa untuk ke sana bukan sekadar ziarah malah menetap di sana. Bulan Ramadhan lepas, hati saya meruntun-runtun ingin ke Mekah. Mengalir-ngalir air mata saya" Beliau pasti akan bercerita penuh perasaan. Kami berkongsi kerinduaan yang sama. Namun, mungkin beliau lebih lagi, Jiwa kami ibarat satu dalam dua. Berbeza namun sama. Dia menyatakan cintanya dan rindunya pada Rasulullah dan Makkah bukan omongan. Bukan disertakan dengan larangan-larangan- hipokrisi cinta Rasul. Namun tulus jiwa dan taat padaNya natijah. Seperti saya yang ingin amat ke sana, beliau lebih lagi. Kami berkongsi air mata. Dia yang saya kenali..
 
*Ini sebuah catatan lama demi mengenang teman yang akan berpindah ke alam baru. Sudah dua Ramadhan berlalu sejak catatan ini di tulis. Berbagai perkara telah berlaku. Walau kami jarang bertemu namun teman yang kita pilih kerana Allah, kasihnya segar-segar selalu. Walau kami berbeza jalan namun dia sahabat yang paling terbaik dalam sibuk dunia. Walau kami berbeza manhaj namun akhlaknya luhur berbudi bahasa. Walau jelas benar arah kami berlainan, temunya kami tidak pernah membangkitkan persoalan- kerana kami tahu tujuan sama. Ringkasnya, beliau insan terbaik yang pernah dikenali. Moga beliau dipelihara Allah selalu dan moga kami bersama dalam sabil al-haq kelak!