Aduhai! Tolonglah Media Prima, dengarlah suara kami.

Air mata dari rakyat. Bukan kerana kuasa. Air mata diperah dari pedihnya kezaliman dan ketidakadilan. Bagaimana kira-kira sanggup sungguh memaparkan sesuatu yang tidak sahihnya. Benarlah! Menjadi amanah bukan kerja mudah. Menjaga iman agar tidak menjadi lala dan cinta dengan dunia satu pendidikan rohani. Etika kewartawanan dan keadilan dalam memberi khabar berita satu tanggungjawab besar. Bagi Muslim takut pada Allah rahsianya. Bagi manusia etika dan moral bekerja adalah pengukurnya! Keputusan pilihanraya adalah satu dimensi politik era baru Malaysia.

Perubahan perlukan masa, strategi dan wacana pemikiran baru dari semua. Selamat melangkah dan bekerja bersama! Cari titik pertemuan dan bersatu dalam kepelbagaian. Bagi Muslim dekatkan diri pada Allah mantapkan ilmu dan kerohanian. Bagi media massa, air mata kami ada perkiraanya kelak! Tidak banyak yang kami minta melainkan sebuah ketelusan dan keadilan untuk minda dan jiwa rakyat Malaysia! Kalau tangisan kami dikira picisan, air mata anak-anak kecil tidak murah harganya. Demi sebuah masa depan yang cerah dan basah dengan barakah dari Pencipta Maha Esa, kami inginkan perubahan. Dan tidak wahai media, tidak mungkin kami akan berundur. Perubahan ini telah kami pilih, akan kami kemaskan dengan taqwa dan ilmu. Akan kami mantapkan dengan kerjasama dan pendewasaan politik semasa. Belajar dari kesilapan dan mencambah budaya pemikiran baru rakyat Malaysia. Ia tentang kami. Tentang rakyat. Berlaku adillah, paling tidak pada rakyat mahrean. Usah diperkotak-katikkan pemikiran rakyat Malaysia! Kami mengadu kepada Pencipta Jin dan Manusia. Tuhan yang memiliki tujuh petala langit dan bumi.

Salam Maulidur Rasul buat semua. Cinta pada bukti amalan dan perbuatan. Kekasih yang dirindukan akan datang masa moga kami terpilih dalam mereka yang mendapat Syafaatmu. Ya Rasullah!