Pemerintahan Negara Dari Sudut Maqasid Syara’: Siri Pertama
1.0 Introduksi
Keratan sejarah mencatatkan terdapat dua kuasa besar suatu ketika dahulu di bahagian Rom dan Parsi. Kekuatan dan kekuasaan kedua-dua belah negara amat ditakuti dan digeruni. Ketamadunan mereka menjadi kebanggaan. Kemudian muncul sebuah kuasa di tanah Hijaz yang dipimpini oleh seorang Nabi dan Rasul akhir zaman daripada bangsa Arab. Negara ini telah telah berjaya menggugat empayar yang telah dibina di Rom dan Parsi. Negara tersebut ialah negara Islam yang telah dibina oleh Rasulullah dan diteruskan oleh para sahabat. Penerusan mengurus dan mentadbir sebuah negara Islam ini diteruskan sehingga empayar khilafah berkembang sehingga menguasai 3 Lautan Utama pada ketika itu ialah Laut Putih, Hitam dan Merah. Namun sejarah kegemilangan ini telah pudar pada hari ini dengan tindak-tanduk pemerintahan di kebanyakan negara Islam yang tersasar jauh daripada landasan yang digariskan oleh Islam. Oleh itu, penulis cuba untuk berkongsi sudut kecil untuk memahami bagaimana pemerintahan sebuah negara menurut Islam iaitu sudut maqasidnya.
2.0 Kesyumulan Islam
Bertitik tolak daripada kefahaman kesyumulan Islam akan membawa kita memahami bahawa pemerintahan negara itu bukan asing dalam Islam. Islam bukan sekadar agama yang menjurus kepada pengamalan ruhaniah semata-mata dengan menitik beratkan persoalan ibadat seperti solat dan puasa.
Firman Allah :
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٨٥)[1]
Maksudnya :
85. Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
Ulasan : Deen dalam ayat di atas adalah sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah. Barangsiapa yang menerima Islam secara sebahagian dan tidak keseluruhan akan termasuk dalam golongan yang dinyatakan oleh Allah dalam ayat berikut :
Firman Allah :
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ (٨٥) [2]
Maksudnya :
85. Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Dr. Abdul Karim Zaidan[3] menggariskan secara lengkap perkara yang terkandung di dalam Islam bagi membuktikan betapa syumulnya (lengkap) Islam. Beliau menyatakan jenis-jenis hukum yang terkandung dalam Islam adalah seperti berikut :
1. Akidah Islamiah : Berkaitan dengan perkara seperti keimanan kepada Allah
2. Akhlak : Berkaitan dengan sifat yang seorang muslim perlukan seperti bercakap benar
3. Perhubungan antara Allah dan hambanya : Berkaitan seperti solat, puasa
4. Perhubungan sesama makhluk : Berkaitan seperti berikut :
· Institusi kekeluargaan
· Muamalat seperti jual beli, sewaan
· Kehakiman, pendakwaan, saksi
· Bukan Islam yang datang ke negara Islam
· Hubungan dengan negara bukan Islam
· Pemerintahan seperti pemilihan ketua negara
5. Sumber hasil negara dan pengurusannya seperti perhubungan hartabenda negara dan rakyat, perhubungan antara kaya dan miskin
6. Jenayah : Berkaitan perhubungan antara negara dan rakyat sudut perkara yang dilarang dan pembalasan kepada pelanggaran hukum seperti qisas dan hudud
3.0 Kedudukan Pemerintahan dalam Islam
Dr. Abdul Karim Zaidan[4] mengatakan :
"Pemerintahan dalam Islam adalah wasilah bukan matlamat utama. Wasilah ini penting sebagai penyampai kepada maqasid yang hanya mampu dilaksanakan oleh seorang ketua negara bukan orang kebanyakan".
Kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan antara golongan yang dipilih untuk menjadi pemimpin dan ketua dan golongan yang menjadi pengikut dan dipimpin. Islam menggunakan acuan ini bagi memastikan matlamat utama Islam meletakkan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini tercapai. Maka pemerintahan merupakan wasilah terpenting dan amat penting bagi mencapai matlamat itu tadi.
4.0 Maqasid Pemerintahan dalam Islam
Ulama’ seperti al Mawardi dan Ibnu Khaldun memberikan takrifan Imamah atau Khilafah ialah:
" Pengganti kepada tugas Nubuwwah bagi memelihara Deen
dan mentadbir dunia dengan Deen tersebut."
Maka di sini boleh dibahagikan maqasid terbesar yang hendak dicapai oleh Islam dalam pemerintahan ialah bagi :
· Memelihara Islam
· Mentadbir dunia dengan panduan Islam
4.1 Pembahagian Tugas Berdasarkan Maqasid
Setelah memahami kedudukan pemerintahan di dalam Islam dan maqasid yang yang hendak dicapai oleh Islam maka pelbagai pembahagian tugas bagi seorang ketua negara boleh digariskan bagi mencapai 2 maqasid terbesar tadi.
Penulis membawa di sini 2 jenis pembahagian oleh 2 orang ulama’ iaitu Dr. Abdul Karim Zaidan dan juga Syeikh Said Hawwa sebagai contoh yang boleh memberikan gambaran dalam pembahagian tugas ini.
Dr. Abdul Karim Zaidan[5] menggariskan bagi mencapai maqasid pertama perlu kepada :
· Penjagaan
· Perlaksanaan
Bagi mencapai maqasid kedua perlu kepada :
· Menjalankan keadilan
· Memastikan keamanan
· Menyediakan keperluan
· Melipatgandakan hasil bumi
Manakala Syeikh Said Hawwa[6] meletakkan seperti berikut :
· Mendirikan syariat
· Memperkukuh hubungan dengan lapisan masyarakat
· Urusan peperangan
· Urusan taraf hidup rakyat
· Urusan keamanan
· Urusan kewarganegaraan dgn bukan Islam
· Urusan menghadapi pembangkang,pengkritik
· Urusan jenayah
· Urusan malapetaka
· Urusan utusan
Jika dihalusi setiap pecahan yang digariskan oleh beliau,ia juga merupakan pembahagian pokok yang digariskan oleh Dr. Abd Karim Zaidan. Ini menggambarkan betapa luasnya skop bidang tugas yang ada dan ia merupakan amanah kepada setiap ketua negara Islam untuk melaksanakannya.
Terperincinya Syeikh Said Hawwa, beliau meletakkan pembahagian tadi di bawah salah satu daripada 30 akhlak utama yang perlu ada pada setiap ketua negara dan akhlak ini dipanggil ilmu mentadbir. 30 akhlak !! Nescaya kepincangan yang berlaku kepada ketua negara Islam hari ini berpunca daripada kekurangan akhlak yang telah ditetapkan. Begitu juga sudah pasti hebatnya seorang ketua negara Islam itu bila dia dapat mempraktikkan ke 30 akhlak tersebut. Subhanallah !!
Seterusnya kita akan melihat bidang tugas ini satu persatu menurut garis panduan Dr. Abdul Karim Zaidan sebagai kerangka asas dan penambahan seperti yang terdapat dalam garis panduan Said Hawwa.
5.0 Maqasid Pertama : Memelihara Deen
Deen yang dimaksudkan di sini ialah Islam secara keseluruhannya. Oleh itu, bagi memelihara Deen ini memerlukan kepada penjagaan dan perlaksanan seperti yang telah disebutkan.
5.1 Penjagaan Deen
Penjagaan yang dimaksudkan ialah : mengekalkan hakikatnya, menyebarkan kepada manusia seperti yang disampaikan oleh Rasulullah, menjaga daripada berlakunya penyelewengan daripada yang telah disampaikan oleh Rasulullah.
Maka digariskan bidang tugas seperti :
· Memelihara usul Islam
· Memantau golongan yang membuat syubhah kekeliruan kepada Islam.
· Memperkuatkan ketenteraan
· Menanamkan semangat jihad yang tinggi dalam jiwa rakyat. Persoalan jihad amat ditakuti oleh musuh Islam sehingga mereka sentiasa cuba untuk memesongkan pandangan terhadap konsep jihad yang sebenar. Ini dinyatakan seperti berikut :
"Islam secara hakikatnya tiada di dalamnya jihad. Jihad Nabi bukan daripada risalah yang dibawa kerana jihad itu hanya untuk meluaskan kekuasaan".[7]
5.2 Perlaksanaan Deen
Perlaksanaan ini berjalan dengan melaksanakan semua hukum Islam pada seluruh pengamalan manusia yang sudah pasti merangkumi dalam konsep Islam yang syumul seperti yang telah diterangkan. Dengan ini, masyarakat Islam akan dapat dipimpin dan dibimbing kepada acuan Islam yang dipaksikan dengan keimanan dan ketaatan kepada Allah dan diberikan pembalasan bagi mereka yang ingkar.
Ini berdasarkan firman Allah :
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ (١٣٨)[8]
Maksudnya :
138. (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
Bagi memastikan acuan Islam yang harmoni yang membentuk masyarakat Qur’ani maka segala virus kerosakan dan parasit mungkar mesti ditentang dan dihapuskan dalam masyarakat.
