Ehsan tulisan: Abdul Latif Rahbar Subky

Apakah itu Tasawwuf?

Beberapa pendapat telah diberikan oleh ulamak mengenai asal-usul perkataan ini. Ada yang mengatakan ianya berasal dari perkataan soof atau jerami, yang mana ianya adalah amalan orang-orang terdahulu bagi menjauhkan diri mereka dari cinta dunia dan oleh kerana itu mereka juga digelar sebagai sufi.

Ada pula berpendapat bahawa ianya berasal dari perkataan parsi saaf yang bermakna kesucian, kerana antara maksud utama dalam tasawwuf adalah penyucian hati.

Tasawwuf adalah dari bab tafa’ul yang mempunyai makna takalluf, iaitu bersusah-payah melakukan sesuatu. Dari situ kita tahu bahawa tasawwuf bermaksud menyusahkan diri atau bersusah-payah untuk membersihkan hati.

Apakah maksud sebenar Tasawwuf?

Menghidupkan agama di dalam dan di luar diri kita. Apabila seseorang itu memilih agama sebagai jalan hidup, maka seharusnya dia mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan tuntutan-tuntutan agama dan menghindarkan diri dari segala yang ditegah.

Di antara amalan-amalan yang dianjurkan untuk menghidupkan agama adalah :

  1. Da’wah dan tabligh
  2. Penyebaran ilmu-ilmu agama
  3. Tareqat, penyucian hati, zikir dan ibadah
  4. Siyasah Islamiyyah
  5. Jihad dengan erti kata yang sebenar

Hamba telah mendengar Maulana Yahya ‘Abbasi, jurucakap bagi kumpulan Sipah-e Sahabah mengatakan selagi kelima-lima cabang di atas bergerak maju, maka agama yang mulia ini akan terus gagah. Tetapi sekiranya salah satu dari cabang ini goyah atau tidak bergerak, maka cabang-cabang yang lain juga akan menerima tempiasnya

Beliau menambah bahawa tumbukan yang kuat hanya akan terhasil apabila kelima-lima jari digenggam dengan kuat. Dengan hanya mencucuk dengan satu jari, atau menumbuk dengan empat jari sedangkan jari yang lain bengkak atau tiada, maka tumbukan atau cucukan itu langsung tidak akan memberi kesan terhadap lawan.

Dengan da’wah dan tabligh semangat untuk beramal akan berkobar, kekufuran dan kesyirikan akan terhindar.

Dengan penyebaran ilmu dan institusi-institusi pengajian Islam, maka amalan-amalan akan menjadi sah, penyakit kejahilan dan bid’ah akan terhapus.

Dengan tareqat dan penyucian hati, zikir dan ibadah akan menjadi lebih manis, dan kebarangkalian untuk amalan-amalan seseorang itu diterima oleh Allah ta’ala lebih tinggi. Segala penyakit-penyakit hati seperti hasad, takabbur, riya’ dan lain-lain juga dapat dikawal. Apabila ini berlaku, maka bukan sahaja dosa tidak akan dilakukan, bahkan fikiran ke arah dosapun tidak akan berlaku.

Dengan siyasah islamiyyah pula hukum-hukum Allah ta’ala dapat dijalankan, hak-hak sesama hamba akan terjamin. Rasa cinta terhadap agama akan lebih menyerlah serta semangat untuk mempertahankan agama akan lahir.

Dengan jihad benci terhadap kekufuran lahir, dan perasaan ingin menegakkan kalimah Allah ta’ala di atas muka bumi akan berkobar-kobar.

Apabila seseorang itu aktif di dalam salah satu daripada cabang-cabang ini, maka tidak wajarlah bagi sesiapapun untuk mengkritik kerja beliau, kerana dengan mengkritik pekerjaan beliau bermakna kita mengkritik usaha Baginda s.a.w, dan barang sesiapa yang mengkritik kerja Baginda s.a.w bermakna imannya di dalam bahaya.

Tasawwuf bolehlah dikategorikan sebagai sebahagian dari proses penyucian hati, yang mana tanpanya tiadalah kelazatan dalam mengabdikan diri kita kepada Allah yang Maha Pemurah.

Apakah di antara amalan-amalan yang digalakkan dalam penyucian hati?

Perlu diingatkan bahawa hati manusia sering menginginkan kesoronokan, kerana itu kita sering mencari jalan untuk melegakan tuntutan hati kita ini. Namun begitu, oleh kerana syaitan sering menggoda anak-anak Adam, kita sering memilih jalan yang salah untuk menenangkan hati kita.

Oleh itu, Allah ta’ala telah mengutuskan para rasul dan nabi untuk menunjukkan kepada kita apakah cara yang sebenar dan berkesan untuk menghiburkan diri kita. Segala yang dianjurkan dalam agama adalah untuk kebaikan diri kita sendiri, di samping membawa kesan terhadap orang lain. Apabila agama kita lengkap, bukan kita sahaja yang terasa kesannya, bahkan orang lain juga akan mendapat faedah dari amalan-amalan kita.

Seorang penyair bermadah :

Wa lil-ardhi min ka’sil-kareemi naseebu.
Dan bumi juga mendapat bahagiannya dari gelas orang pemurah.

Syaitan dan nafsu menginginkan kelalaian, manakala ruh dan fitrah kita inginkan agama. Apabila kedua-dua belah pihak ini bertembung, maka seharusnyalah kita memihak kepada yang lebih baik iaitu agama.

Apabila seseorang itu memilih agama sebagai jalan hidup, nafsu dan syaitan tidak sama sekali akan mendiamkan diri, untuk itu kita perlulah berusaha untuk memastikan kedua-dua ini dibendung. Di antara cara-caranya adalah :

  1. Suhbat atau mendampingi orang-orang yang soleh. Apabila kita mendampingi mereka, sekurang-kurangnya kita juga akan berkelakuan seperti mereka. Imam Abu hanifah bermadah :

Uhibbus-saaliheena wa lastu minhum,
La’allaha yarzuqunis-solaaha.

Aku mencintai orang-orang yang soleh walhal bukanlah aku boleh dikira di kalangan mereka,
Mudah-mudahan Allah ta’ala (dengan berkat cintaku kepada mereka) menganugerahkank kesolehan terhadapku.

  1. Bai’ah kepada mereka-kepada mereka yang sudah mendapat ijazah dan khilafah dari syeikh-syeikh tasawwuf. Ini adalah antara amalan tradisi ahli sufi zaman berzaman, yang mana ianya berdasarkan dalil bai’ah para sahabiyyah untuk tidak melakukan dosa seperti yang termaktub dalam surah mumtahinah. Bai’ah mempunyai beberapa jenis di antaranya:

a. Bai’ah ke atas Iman, seperti yang dilakukan oleh penduduk yathrib kepada Nabi s.a.w ketika perjanjian ‘Aqabah.

b. Bai’at ke atas jihad seperti yang dilakukan oleh para sahabat di bawah pohon di Hudaibiyyah.

c. Bai’ah ke atas khilafah seperti yang dilakukan oleh semua sahabat terhadap Abu Bakr r.a.

d. Bai’ah ke atas amalan-amalan yang wajib dan meninggalkan segala yang haram seperti yang termaktub dalam surah Mumtahinah.

Amalan bai’ah yang biasanya dilakukan oleh ahli sufi adalah berdasarkan jenis yang ke-empat, dan apabila seseorang itu berbai’ah dengan seorang yang bertauliah, maka dia seharusnya mendengar apa sahaja saranan yang diberikan oleh syeikhnya, kerana seorang syeikh tidak akan menyarankan melainkan yang terbaik untuk agama si murid.

  1. Mujahadah, iaitu menekan nafsu dari melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syara’ di samping melawannya apabila melakukan ibadah. Ini adalah maksud asal mujahadah. Terdapat juga masyaikh yang menyarankan hidup dengan penuh kesederhanaan, yang mana dengan itu cinta dunia akan terkeluar dari hati, dan cinta dunia adalah permulaan bagi kesemua dosa.

Selain itu kita juga disarankan untuk memperbaiki niat kita dalam semua perkara, tidak langsung meninggalkan perkara-perkara wajib, berusaha sedaya upaya meninggalkan yang haram, mementingkan amalan sunnah nabawiyyah ‘ala sahibihas-solatu wat-tasleem, menjauhkan diri dari perkara-perkara yang meragukan, sentiasa mengingati Allah ta’ala dan banyak lagi.

Mengapakah suhbat dan bai’ah itu penting?

Ini adalah antara soalan-soalan yang sering diajukan oleh mereka-mereka yang tidak berpuas hati dengan Sufism. Biasanya mereka-mereka yang mengajukan soalan ini tidak langsung mementingkan sanad dalam urusan agama mereka, sedangkan apabila kita menyingkap sirah nabawiyyah ‘ala sahibihas-solatu wat-tasleem kita akan mendapati para sahabat selalu mendampingi Baginda s.a.w sama ada di waktu senang atau susah. Selepas kewafatan Baginda s.a.w, para tabi’in melakukan perkara yang sama terhadap para sahabat dan begitulah seterusnya sehinggalah ke hari ini. Mungkin kita mampu mempelajari teori-teori agama dengan menadah kitab-kitab agama, tetapi belum tentu kita mampu mempraktiknya dengan tepat tanpa tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman.

Masyaikh adalah seperti doktor pakar, yang mana mereka dikurniakan oleh Allah ta’ala firasat yang dalam bagi tujuan islah dan tarbiah. Sekiranya seorang penuntut ilmu perubatan ingin mendapatkan lesen menjadi doktor bertauliah, beliau mestilah terlebih dahulu berdamping dengan mereka-mereka yang berpengalaman selama beberapa tahun sebelum disahkan kedoktoran mereka.

Kadang-kadang syeikh akan memberikan jalan penyelesaian yang berbeza bagi dua orang muridnya yang mempunyai permasalahan yang sama, dan ini dilakukan mengikut pandangan dan penyelesaian terbaik bagi yang bermasalah, sepertimana seorang doktor kadang-kadang akan memberikan ubat yang berbeza kepada dua pesakit yang pada zahirnya mempunyai masalah yang sama. Tujuan hanya satu, memulihkan keadaan kepada yang yang terbaik. Sekiranya kita tidak berdamping dengan mereka, bagaimanakah akan kita tahu masalah yang ada pada diri kita?

Dengan berbai’ah kita telah berjanji dan berazam untuk melakukan yang terbaik untuk agama kita sepertimana yang pernah dilakukan oleh para sahabat dan mereka-mereka yang terdahulu. Oleh kerana kita tidak tahu apakah yang terbaik untuk diri dan agama kita, maka kita serahkan urusan tersebut kepada mereka-mereka yang mampu dengan harapan mereka akan membawa kita ke jalan agama.

Perhatian perlu diberikan juga terhadap syeikh yang ingin kita dampingi. Antaranya syeikh tersebut perlulah mempunyai ijazah dan sanad untuk mentarbiyyah dari syeikh-syeikh yang mempunyai ijazah yang sama, begitulah seterusnya sehinggalah sanad tersebut sampai kepada Baginda s.a.w. Sekiranya syeikh tersebut tidak mendapat khilafah dari mana-mana syeikh, maka disarankan agar kita tidak berbai’ah kepadanya. Ini kerana kita tidak tahu dari manakah beliau mendapat agama beliau dan adakah beliau layak untuk mengubati jiwa orang lain. Ibnu mubarak berkata:

Al-isnaadu minad-deen, lawlal-isnaadu la-qaala man shaa’a maa shaa’a.
Sanad-menyanad adalah sebahagian dari proses agama. Tanpa menyatakan sanad, sesiapa sahaja boleh mengatakan apa yang dia suka.

Dalil-dalil berkenaan tasawwuf

Al-Quran dan Sunnah Baginda s.a.w yang mulia memang dipenuhi dengan saranan dan perintah untuk membersihkan hati. Allah ta’ala berfirman di dalam surah Shams ayat 1-10:
(1)Demi matari dan waktu paginya,(2) dan demi bulan dan apa sahaja yang mengekorinya(matahari tersebut),(3)dan demi siang dan apa sahaja yang meneranginya, (4) dan demi malam dan apa sahaja yang menggelapinya (5) dan demi langit dan pembinaannya,(6) dan demi bumi serta penghamparannya,(7) dan demi jiwa dan apa sahaja yang menyempurnakan penciptaannya, (8) maka Dia mengilhamkan kepadanya keburukan dan taqwanya,(9) maka berjayalah sesiapa sahaja menyucikannya, (10) dan rugilah sesiapa sahaja yang mengotorkannya.

Di dalam ayat-ayat di atas, Allah ta’ala telah meletakkan kejayaan di dalam agama itu di dalam penyucian hati, sepertimana Dia telah meletakkan kegagalannya apabila kebersihan hati itu tidak dijaga. Dan jaminan ini diberi setelah Dia bersumpah sebanyak sekurang-kurangnya 14 kali, sedangkan apakah perlunya Allah ta’ala bersumpah walhal Dia sendiri telah berfirman : dan siapakah yang lebih benar perkataanya dari Allah?…
Dan ayat-ayat seperti ini tidak terkira banyaknya di dalam al-Quran.

Di dalam sebuah hadis pula ada di sebut:

Dengarlah! Sesungguhnya di dalam tubuh ini terdapat secebis daging, apabila baiklah daging itu baiklah pula segenap tubuh, dan apabila rosak daging tersebut rosaklah segenap tubuh badan. Berilah perhatian! Dan cebisan daging tersebut adalah hati.

Dan hadis-hadis berkenaan topik ini juga bersifat mutawatir iaitu terlalu banyak sehingga mustahil untuk mereka-mereka yang terdahulu bersepakat untuk menipu dalam perkara ini.

Di sini hamba ingin mengakhiri celoteh hamba dengan meriwayatkan pendapat Sheikhul hadis Maulana Zakariyya Kandhlawi -pengarang kitab Fadhail A’maal dan Awjazul Masaalik syarah kepada Muwatta Imam Malik- di dalam Aap Beti autobiografi beliau. Satu ketika beliau ditanya apakah itu tasawwuf ? Beliau menjawab:

Tasawwuf itu bermula dengan innamal-a’maalu bin-niyyaat (hanyasanya amalan-amalan itu dikira dengan niat) dan diakhiri dengan an ta’budallaha ka-annaka taraahu, fa-in lam takun taraahu fa-innahu yaraaka (engkau menyembah Allah seolah-olah engkau sedang melihatNya, sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sekalipun, engkau sedar yang Dia sedang melihatmu).

Dan Allah jualah yang lebih mengetahui……