Suatu hari saya menghadiahkan kepada dia yang rambutnya sahaja panjang demi mengikuti trend anak-anak muda sekarang yang sangat meminati kumpulan indie ‘ Hujan’ dan fesyen rambut ahli kumpulannya; sebuah buku The Alchemist karangan Imam Ghazali. Entah pernah dibelek dia buku itu atau tidak, tidaklah saya tahu. Namun saya harap dia dapat memanfaatkan buku itu suatu hari nanti. ( Oh, atau beri sahaja kepada saya kembali kerana saya masih belum memiliki buku tersebut. Buruk sikukah? ).

Alkisah rambutnya yang sangat trendy itu tidaklah menggangu diri saya. Saya memahami jiwa anak muda sepertinya yang suka bergaya pelbagai fesyen rambut. Namun kerana sudah hampir memakan mata maka saya beri wang sepuluh ringgit kemudian ditambah sepuluh ringgit apabila kasihankan dompetnya yang kosong. Saya tidak marahkan rambutnya yang panjang itu, namun saya mahu dia kenal dirinya sendiri. Duit itu sekadar simbolik membeli makna diri dengan memotong rambutnya yang telah buat ketua rumah saya marah beberapa kali.

Dia dengan dunianya yang sungguh mesmerized dengan politik maka saya pimpin dia ke Stadium Melawati menghadiri ceramah oleh beberapa wakil Pakatan Rakyat sempena Hari Pekerja. Sebenarnya saya agak capek pada hari itu usai pulang dari kerja yang mengambil masa selama hampir tiga jam perjalanan, namun kerana mahu dia kenal dunia politik sebenar saya ajak juga dia. Sambil berjalan keluar dari stadium, kami disapa anak-anak muda atau sebenarnya saya tertarik dengan beberapa buku berkualiti yang anak-anak muda tersebut promosikan yang mana berunsurkan sastera. Kemudiannya, saya mengintai buku BERSIH yang mengumpulkan lensa-lensa perhimpunan BERSIH yang lepas. Namun harganya terlalu mahal dan akhirnya saya akur saya hanya mampu untuk membelikan dia t-shirt ABU yang sungguh menarik hasil rekaan kelab penyokong Anwar Ibrahim. Abu. Sungguh! Abu adalah simbolik ‘ Asal Bukan Umno ‘. T-Shirt tersebut memang ‘cool’ bak kata pepatah Inggeris.

Saya harap suatu hari nanti dia akan kembali mencari makna diri. Saya pasti. Setiap manusia ada jalannya. Kerana dia saudara sesusu dan sedarah saya, maka saya akan tetap berdoa.