Dari diriku untuk diriku juga.

Oh, umurku baru (telah) menjangkau 23 tahun, namun aku sudah tua. Aku sudah tua dengan dosa-dosa!
Sambil-sambil aku cari kitab yang boleh dibaca di bilik ini, tertarik dengan satu buku yang tajuknya sahaja boleh mengundang kontroversi bagi sesetengah pihak. Sambil membaca dengan teliti dan cuba membuat perbandingan dan meletakkan diri aku di luar kotak dan bersikap adil dalam menilai. Buku yang kebetulan aku temui bertajuk " Hakikat Tarikat Naqsyabandiah ". Selalunya apabila aku membawa buku-buku berkaitan tarikat, aku akan terus dihinggapi dengan sense of doubt dalam hendak mencari keputusan dan perbincangan ilmiah yang benar-benar memuaskan hati, ruh dan akal aku. Aku bukanlah tahu banyak sangat, jetseru aku belajar dengan guru-guru, berbincang, bertanya dan membaca dari pelbagai buku yang pro dan kontra. Sambil-sambil membelek dan menyeluruhi isi kandungan aku seolah-olah mengembara dalam satu kembara ilmiah, Buku ini sungguh seimbang dalam pennghujahannya dari pihak yang menolak dan menerima tarikat. Sambil-sambil itu, aku juga merasakan akulah yang menjadi antara subjek yang terlibat dalam perbincangan dalam buku yang ditulis oleh H.A Fuad Said ini.
Aku tidaklah punya banyak pengetahuan tentang Tarikat Naqsyabandiah, namun ada juga beberapa buku pro dan kontra aku telah baca dan diskusi bersama mereka yang lebih ‘arif, alim dan faqeh dan juga teman-teman. Namun aku bukan ingin mengupas isi kandungan dan keputusan muzakarah ilmiah yang diselanggarakan oleh Seketeriat Dakwah Majlis Ulama Indonesia Tingkat I Propinsi Sumatra Utara di Medan pada 20 Disember 1987 dan pada tanggal 26 November 1989 yang telah menatijahkan terbitnya buku ini.
Terdapat banyak karangan-karangan Ulama’ Salaf, fatwa-fatwa ulama’ kontemperori dan pandangan-pandangan individu tentang tarikat. Suka untuk bersikap objektif aku selalu melihat kepada kedua-dua pihak dengan pandangan yang ilmiah dan adil. Namun kadang-kadang terdapat ketidakadilan dari kedua-dua pihak terutamanya pandangan yang datangnya dari generasi muda sekarang. Semasa empat tahun di ardhil anbiya’ dahulu tidaklah pula aku cenderung untuk mengetahui secara dalam walau suka akan ilmu tasawwuf. Aku belajar dengan mereka yang digelar wahabi dan juga syeikh-syeikh lain juga. Tidaklah aku bercadang di sini untuk membuat kesimpulan tentang muzakarah tersebut di entri ini, mungkin lain kali dengan izinNya. Tetapi aku ingin muhasabah diri yang selalu sangat leka. Tidak semua perkara dapat dilihat dan dinilai melalui zahir akal semata-mata.
Kadang-kadang aku harap aku boleh bawa keluar hati aku kemudia cucikan dan lihat kesihatannya. Entah sihat entah tidak. Dalam banyak-banyak perbincangan dalam buku ini aku tertarik dengan kata-kata yang dinaqalkan dari Syeikh Abu Hassan As-Syadzili yang sangat aku hormati dan segani. Kalau dikira akan kutub khazanah warisan Sheikh As-Syadzili tidak lah terkira banyaknya. Ibn Taymiah juga mengutip banyak pendapat Abu Hassan As-Syadzili mengenai pelbagai masalah. Ibn Daqiqil ‘Id menegaskan: " Saya tidak pernah melihat orang yang paling mengenal Allah dari Syeikh Abu Hassan As-Syadzili".
Kata-kata mutiaranya yang dinaqalkan dalam buku ini yang buat aku terduduk sendiri atau yang telah menampar hati aku yang keras ini adalah:
"Apabila dzikir terasa berat atas lidahmu, anggota tubuh berkembang menurutkan hawa nafsumu, tertutup pintu berfikir untuk kemaslahatan hidupmu, maka ketahuilah bahawa semua itu adalah petanda banyaknya dosamu atau kerana sifat munafiq yang tumbuh dalam hatimu. Tiada jalan lain selain dari berpegang teguh kepada jalan Allah dan ikhlas dalam pengamalannya ".
MasyaAllah. Jamie wal Mani’ kalam Syeikh As-Syadzili. Menyeluruh. Sekejap. Aku ingin lihat hati sendiri sebentar.
Dan aku teringat akan satu puisi yang dilagukan oleh Sheikh Zulfiqar di sini bertajuk " Change My Dead Heart ". Haha. Aku ingin ketawakan ( atau menangis? ) diriku sendiri. Akulah itu yang punya hati yang hampir mati.





