Pemerintahan Negara Dari Sudut Maqasid Syara’: Siri Kedua
6.0 Maqasid kedua : Mentadbir Dunia dengan Deen
Islam tidak meminggirkan dunia. Oleh itu wasilah pemerintahan ini amat penting agar dunia ini dapat ditadbir seperti yang telah digariskan oleh penciptanya iaitu Allah. Tidak ada panduan yang lebih baik selain panduan al Quran dan Sunnah yang telah disampaikan oleh Rasulullah. Dengan panduan risalah ini negara Islam yang dibentuk oleh Baginda yang diteruskan oleh para sahabat telah berjaya meruntuhkan empayar jahiliah yang besar pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi.
Musuh Islam hari ini cuba memasukkan jarum sekular kepada pemikiran umat Islam dengan membawa pemikiran pemisahan antara agama dan dunia. Selain itu, mereka mengatakan jika Islam memerintah maka akan membawa kepada negara agama yang skopnya sempit.
Dr. Yusuf Qaradawi mengulas perkara ini dengan mengatakan :
"Penjajah telah berjaya membentuk pemikiran bahawa agama tidak ada tempat dalam pentadbiran negara, agama lain dan politik lain…" [9]
Kerangka utama dalam mentadbir :
· Menjalankan Keadilan
· Memastikan Keamanan
· Menyediakan Keperluan
· Melipatgandakan Hasil Bumi
6.1 Menjalankan Keadilan
Keadilan amat dituntut oleh Islam. Ini jelas seperti yang disebutkan dalam firman Allah :
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (٥٨)يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا (٥٩) [10]
Maksudnya :
58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.
59. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Ayat 58 dan 59 menggambarkan bahawa amanah dan menghukum dengan adil adalah tanggungjawab utama ketua negara. Oleh itu, dengan perlaksanaan kewajipan tadi dan ketaatan mereka kepada Allah dan Rasul maka barulah rakyat memberikan ketaatan kepada ketua negara.
Dr. Yusuf Qaradawi mengatakan :
"Dengan 2 ayat ini Syeikh Islam Ibnu Taimiah telah mengarangkan kitabnya bertajuk Siasah Syari’yyah fi Islah Ra’ie Wa Raieyah yang membahaskan isi dua ayat tadi" [11]
Justeru, ketua negara juga perlu memastikan setiap perlantikan dalam jawatan negara adalah disandang oleh mereka yang berkelayakan dan amanah. Ini kerana mereka merupakan wakil ketua negara dalam urusan dengan rakyat dan ketidakmampuan mereka akhirnya akan memberikan ketidakpuashatian rakyat kepada ketua negara.
Ini sejajar dengan firman Allah :
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأمِينُ (٢٦) [12]
Maksudnya :
26. Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang Kuat, lagi amanah".
Selain memastikan amanah dan berkelayakan, tugas memantau dan memerhatikan gerak kerja setiap jawatan di bawah negara perlu dilakukan. Ini bagi memastikan bahawa tidak berlaku penyelewangan yang boleh menzalimi rakyat dan menyebabkan rakyat marah dan negara tidak stabil. Kuasa yang diberikan tidak secara mutlak tetapi terikat dengan syariat Allah.
Ini sejajar dengan firman Allah :
يا دَاوُدُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الأرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ (٢٦) [13]
Maksudnya :
26. Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (Hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
Keadilan ini bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam yang bernaung di bawah kekuasan negara Islam.
Berdasarkan firman Allah dalam surah al Mumtahanah :
لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (٨)
Maksudnya :
8. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Said Hawwa mengulas dalam Urusan Kewarganegaraan dengan bukan Islam :
"Bila bukan Islam menepati janji maka perlu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka dan mempertahankan mereka".[14]
6.2 Memastikan Keamanan
Semua manusia menginginkan keamanan. Keamanan perlu menyeluruh kepada semua yang berhak berada di bawah sebuah negara Islam. Antara yang perlu dilaksanakan dan dijalankan ialah perundangan jenayah yang akan memastikan hukuman bagi mereka yang cuba menggugat keamanan menurut perspektif Islam.
Said Hawwa mengulas dalam Urusan Keamanan :
"Keutamaan yang besar perlu diberikan kepada keamanan. Keamanan ini termasuklah keamanan ketua negara, pemerintahan dan rakyat. Maka akan termasuk di dalamnya banyak perkara seperti polis, perisik, kehakiman yang adil, hukuman…"[15]
Beliau mengulas dalam Urusan Jenayah :
"Hukuman dilakukan dengan kadar yang diperlukan untuk memperadabkan tanpa melampau kepada kezaliman dan tidak mengambil mudah perkara hudud dan qisas. Syariat telah memberi pilihan yang banyak kepada ketua negara dalam ta’zir bagi menghukum golongan fasik, melakukan maksiat begitu juga meilzamkannya mendirikan hudud dan qisas…"[16]
6.3 Penyediaan Keperluan
Setiap negara mempunyai pelbagai sektor yang boleh dikembanggiatkan bagi memenuhi tuntutan dan keperluan rakyat. Usaha ini perlu bagi memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat dan juga menjalani kehidupan dengan keperluan yang mencukupi.
Ini boleh dinyatakan seperti berikut :
· Penyediaan peluang kerja
· Mencambahkan industri
· Meningkatkan tahap keilmuan
Usaha-usaha ini dalam persoalan hukum merupakan fardu kifayah yang amat penting.
Berkata A’llamah Ibnu Abidin dalam kitabnya Raddul Mukhtar A’la Durril Mukhtar :
"Merupakan fardun kifayah bagi penyediaan tempat pengeluaran (kilang) yang diperlukan".[17]
Said Hawwa mengulas dalam Urusan Taraf Hidup :
"Ini merupakan perkara yang diambil berat oleh manusia dan sebagai penimbang, siapa yang gagal maka sukar mendapatkan istiqamah manusia untuk menyukai dan memberi ketaatan".[18]
6.4 Mengusahakan Hasil Bumi
Allah menjadikan bumi ini penuh dengan hasil yang boleh diusahakan bagi kemanfaatan manusia bersama.
Firman Allah :
وَهُوَ الَّذِي أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِنْ طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ انْظُرُوا إِلَى ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ إِنَّ فِي ذَلِكُمْ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (٩٩) [19]
99. Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu Segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.
Maka sudah pasti sebagai ketua dalam negara Islam mengusahakan dan melipatgandakan hasil agar dapat dinikmati oleh rakyat dan digunakan bagi manfaat rakyat bersama. Sikap ini telah digambarkan oleh Khalifah Harun Ar Rasyid yang meminta semua pakar kejuruteraan dan ulama’ berkumpul bagi menyediakan plan pengaliran yang hendak dibuat bagi menyuburkan tanah Kharaj (cukai kepada tanah yang dibuka oleh orang Islam). Dalam usaha ini Imam Abu Yusuf telah mengarang kitab berkenaan Kharaj bagi keperluan negara.[20]
7.0 Konklusi
Sudah pasti jelas bagi kita betapa besarnya maqasid yang hendak dicapai oleh Islam melalui pemerintahan. Melalui wasilah pemerintahan begitu banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang ketua negara bersama ahli kabinetnya.
Adalah amat malang jika sebuah negara Islam itu diperintahkan dengan ketua negara yang tidak memiliki akhlak pentandbiran ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Said Hawwa dalam 30 Akhlak bagi seorang ketua negara.
Harapan agar para ulama’ sedar akan kepentingan tanggungjawab ini dan menjadikan agenda bagi memastikan negara mereka mempunyai kepimpinan yang berakhlak. Kelalaian ulama’ dalam memastikan adanya mereka yang layak menjadi ketua negara dan memastikan mereka berakhlak dengan akhlak yang telah ditetapkan akan mengakibatkan kepincangan dan kerosakan dan sudah pasti Islam tidak dapat dipelihara dengan baik dan dunia menjadi sarang kemaksiatan.
Bangunlah generasi hari ini bagi mendepani cabaran yang cukup besar.
والله من وراء القصد وعليه توكلت وإليه أنيب
وما أريد الا الإصلاح وما توفيقى الا بالله
الفقير إلى الله
Amly Asenar
Abu kinanah
BA Syariah dan Undang-Undang
Jabatan Syariah Islamiah
Universiti Al Azhar As Syariff
Cawangan Tanta
Penuntut
Darul Ifta’ Al Misriah
Mesir
[1]Surah Ali Imran : 85
[2]Surah Al Baqarah : 85
[3]Abdul Karim Zaidan (Dr.), Usul Dakwah, Beirut, Muassasah Risalah, Cet.9, 2001 M – 1421 H, Hal.53
[4]Ibid. Hal. 230
[5]Lihat : Ibid.
[6]Said Hawwa, Fusulun fil Amrah Wal Amir, Kaherah, Darul Salam, Cet.2, 1994 M – 1415 H, Hal.71
[7]Muhammad Diya’uddin Riss (Dr.), Islam Wa Khilafah fil Asril Hadis, Kaherah, Darul Turath, Hal. 271
[8]Surah Al Baqarah : 138
[9]Yusuf Qaradawi (Dr.) Min Feqh Daulah Fil Islam, Kaherah, Darul Syuruq, Cet.1, 1997 M – 1417 H, Hal. 13
[10]Surah Al Nisa’ : 58-59
[11]Ibid. Hal. 15
[12]Surah Al Qashas : 26
[13]Surah As Sod : 26
[14]Said Hawwa, Op.Cit. Hal. 75
[15]Ibid.
[16]Said Hawwa, Ibid. Hal.77
[17]Abdul Karim Zaidan (Dr.), Op.Cit. Hal. 235
[18]Said Hawwa, Op.Cit. Hal.75
[19]Surah Al An’am : 99
[20]Abdul Karim Zaidan (Dr.), Op.Cit. Hal. 236
